KUALA TERENGGANU, 23 Mac – Gerakan koperasi di Terengganu berpotensi terus berkembang dengan memanfaatkan pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan bagi pembangunan sosioekonomi negeri.
Sepanjang tahun lalu, sebanyak RM3.4 juta telah disalurkan menerusi Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang melibatkan 13 koperasi di negeri itu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Datuk Amran Abd Kadir berkata setiap koperasi disaran menjalankan aktiviti dalam sektor keselamatan makanan dan memohon pembiayaan di bawah Program Agromakanan.
“Sejak program ini diperkenalkan, hanya empat koperasi di Terengganu yang memohon. Kami menggalakkan lebih banyak koperasi untuk mengambil peluang ini bagi meningkatkan daya saing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Apresiasi Koperasi peringkat negeri, di sini pada Sabtu.
Amran turut memaklumkan sebanyak RM1.194 juta telah disalurkan kepada 18 koperasi di negeri itu menerusi lapan program bantuan sepanjang tahun lalu.
"Inisiatif ini bertujuan membantu koperasi terus berkembang dan mempelbagaikan aktiviti mereka agar tidak bergantung kepada satu sektor sahaja. Dengan peningkatan perolehan, keuntungan koperasi juga akan bertambah, sekaligus memberi manfaat kepada ahli koperasi dalam bentuk dividen dan dana pembangunan," katanya.
Pada majlis tersebut, sebanyak 39 koperasi terbaik di Terengganu menerima pengiktirafan selepas tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Negara.