
TAWAU, 8 Jun – Suasana pagi di Wisma Persekutuan Tawau bertukar cemas seketika apabila bangunan dan perabot bergegar selama beberapa saat susulan gempa bumi kuat yang melanda Mindanao, Filipina pagi tadi.
- Kakitangan terkejut dengan gegaran; pengurusan arahkan pekerja berpindah ke luar menunggu arahan sebelum pihak bomba datang membuat pemeriksaan.
- JBPM menjalankan pemeriksaan keselamatan dan mengesahkan Wisma Persekutuan selamat diduduki; tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan.
- MetMalaysia tamatkan nasihat tsunami tengah hari; siren amaran dibunyikan di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu sebagai langkah kesiapsiagaan.
Rata-rata kakitangan yang ditemui menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang mengejutkan kerana gegaran dapat dirasai di beberapa tingkat bangunan berkenaan.
Kakitangan awam, Rusdi Bustami berkata pada mulanya dia tidak menyedari kejadian itu sebelum dimaklumkan oleh kakitangannya mengenai gegaran yang berlaku.
“Saya masuk pejabat lebih kurang pukul 7:30 pagi. Tiba-tiba staf memaklumkan terdapat gegaran dan apabila saya melihat ke bawah, ramai sudah berkumpul di kawasan bangunan.
Saya terus mengarahkan staf turun ke bawah untuk mendapatkan arahan selanjutnya sebelum pihak bomba datang membuat pemeriksaan dan mengesahkan bangunan selamat untuk digunakan semula,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bangunan Wisma Persekutuan, Amir Kanje berkata gegaran yang dirasai berlaku selama beberapa saat dan tidak terlalu kuat.
Bagaimanapun katanya, penghuni bangunan tetap diminta bersiap siaga serta mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Pada pagi tadi sekitar pukul 7:40 pagi berlaku gegaran selama beberapa saat. Pihak bomba juga mengeluarkan arahan supaya semua penghuni bangunan sentiasa bersedia dan berjaga-jaga,” katanya.
Seorang lagi kakitangan, Julkipli Lahapi berkata gegaran turut dirasai di tingkat empat dan lima di beberapa jabatan kerajaan.
Gegaran dirasai di Jabatan Farmasi, Jabatan Akauntan Negara dan Jabatan Pendidikan yang beroperasi di bangunan berkenaan.
Susulan kejadian itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan pemeriksaan keselamatan di Wisma Persekutuan Tawau sebelum mengesahkan bangunan tersebut selamat untuk diduduki.
Tiada laporan kerosakan atau kecederaan diterima setakat ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menamatkan nasihat tsunami di Sabah pada pukul 12 tengah hari tadi.
Pagi Isnin, siren amaran awal tsunami dibunyikan di empat kawasan pantai timur Sabah sebagai langkah kesiapsiagaan.
Kawasan yang terlibat ialah Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu yang dijangka berdepan kesan gelombang tsunami antara pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.