PARIT BUNTAR, 14 September- Sebuah galeri akan dibina di Taman Pinggiran Sungai Kerian sebagai mengenang tragedi feri karam di kawasan tersebut 50 tahun lalu.
Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian, Helmi Yusof berkata, bangunan tersebut akan memaparkan maklumat mengenai tragedi yang menjadi detik hitam khususnya kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak atau individu yang masih menyimpan bahan arkib, data serta gambar agar dapat berkongsi dengan pihaknya untuk dipamerkan di galeri tersebut apabila siap kelak.
Ketika tinjauan RTM Perak di tapak memorial tragedi itu, terdapat beberapa waris dan orang ramai hadir memberi penghormatan kepada 27 mangsa terkorban.
Bagi mereka, tragedi tersebut masih segar dalam ingatan biarpun puluhan tahun berlalu.
(Foto fail)
Dalam kejadian awal pagi 13 September 1972, 27 mangsa terkorban selepas feri dinaiki mereka karam kerana tali kabel feri antara kedua-dua tebing terputus ketika hujan lebat dan arus sungai deras.
Kebanyakan mangsa terdiri daripada pelajar sekolah.