fb fb fb fb fb

Fokus projek jajaran jalan ICQS Bukit Kayu Hitam ke CIQ Sadao ikut jadual

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

SINTOK, 4 Oktober - Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlebih dahulu akan memfokuskan kepada projek pembinaan jajaran jalan bagi menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ke kemudahan CIQ Sadao di Thailand, agar mengikut jadual sebelum membuat keputusan mengenai status bebas cukai kawasan tersebut.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembinaan tersebut akan melibatkan aspek pengambilahan tanah termasuk pemindahan depoh peluru dan asrama tentera Batalion ke-5 Rejimen Sempadan Kem Bukit Kayu Hitam.

"Pembinaan jalan akan menyebabkan pengambilahan tanah. Itu yang melibatkan kerajaan negeri manakala bahagian kami ia juga melibatkan kem tentera yang itu akan melibatkan pemindahan depoh peluru dan berek bujang, begitu juga dalam ke arah menelengkapkan laluan jalan sepanjang 900 meter itu. Jadi kedepan nanti ia tentu akan mengubah status bebas cukai," kata Saifuddin.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri sesi townhall di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini.

Katanya projek pembinaan jalan itu juga akan mengambil kira isu kesesakan di pintu masuk berkenaan terutama pada cuti sekolah dan waktu puncak.

Katanya berdasarkan pengalaman penggunaan kod respons pantas (QR) dan pengecaman wajah (face recognition)  bagi pelepasan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin  ICQS Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor Bahru dan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) ia boleh diaplikasikan di pintu masuk lain di negara ini.

Media semalam melaporkan  anak syarikat tidak langsung Atlan Holdings Bhd, Cergasjaya Sdn Bhd dan Cergasjaya Properties Sdn Bhd (CPPA) menerima notis bagi pengambilalihan wajib tanah mereka di Bukit Kayu Hitam, Kedah, bagi projek pembinaan jalan.

Duty Free International Ltd (DFI) yang disenaraikan di Bursa Singapura berkata tanah itu diambil alih oleh KDN dan ditadbir oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Kedah.

Pada 27 November 2023 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrhaim dan bekas Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin bersetuju mempercepatkan pembinaan jajaran jalan baru itu agar dapat mempertingkat aktiviti ekonomi, perdagangan dan pelancongan di antara kedua-dua negara.

TETITIA YUSOFF