fb fb fb fb fb

FINAS diminta teliti isu gaji pelakon kanak-kanak, elak diambil kesempatan

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Dewan Negara hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Mac - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) diminta meneliti isu gaji pelakon kanak-kanak bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan terhadap golongan itu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata isu ini penting memandangkan kanak-kanak mungkin tidak mengetahui hak-hak mereka sebagai seorang pelakon.

“Pada waktu ini FINAS sedang meneliti beberapa pindaan akta termasuk Peraturan-Peraturan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pelesenan) untuk tambah baik isu kanak-kanak dan orang muda yang terlibat dalam penggambaran, selain isu kebajikan seniman, veteran dan kru penggambaran,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Negara bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berhubung langkah bagi melindungi hak dan keselamatan pelakon kanak-kanak.

Sementara itu, ketika menjawab soalan asal Senator Datuk Noraini Idris, Fahmi berkata pihaknya memandang serius statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkenaan 73.13 peratus penerbit filem tidak peka terhadap keperluan permohonan Lesen Hiburan Awam Kanak-Kanak dan Orang Muda di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Katanya, pada masa ini kebanyakan syarikat penggambaran dan perfileman berhubung dengan FINAS untuk memohon Surat Perakuan Penggambaran (SBP).

“Kita akan jadikan salah satu kayu ukur program FINAS untuk pastikan semua syarikat yang mohon SBP faham lesen yang mereka perlu mohon dengan Jabatan Tenaga Kerja,” ujarnya.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI