
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Kadar fi lesen operasi gimnasium di ibu negara diturunkan kepada RM10 bagi setiap meter persegi berkuat kuasa Januari 2026, berbanding RM50 sebelum ini.
- Fi lesen gimnasium dikurangkan kepada RM10 per meter persegi bermula Januari 2026, untuk turunkan kos operasi.
- Pengurangan 80 peratus hasil libat urus tiga tahun bersama pemain industri dan persatuan pengusaha gimnasium.
- Langkah bertujuan galakkan lebih banyak premis daftar sah dengan DBKL dan tingkatkan pendaftaran lesen.
- Galakan diskaun waktu bukan puncak dan kadar khas warga emas bagi menyokong aktiviti fizikal dan gaya hidup sihat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata pengurangan sebanyak 80 peratus itu hasil libat urus selama tiga tahun bersama pemain industri termasuk Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia.
Langkah itu dibuat susulan data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 yang menunjukkan kadar obesiti di Wilayah Persekutuan antara yang tertinggi di negara ini.
“Statistik menunjukkan Kuala Lumpur merekodkan kadar obesiti 40.6 peratus, diikuti Putrajaya 35.5 peratus dan Labuan 34.8 peratus. Ini menuntut pendekatan dasar yang lebih responsif di peringkat bandar,” katanya dalam sidang media Pengurangan Fi Lesen Gimnasium di ibu negara.
Pengurangan fi lesen itu dijangka mengurangkan kos operasi pengusaha gimnasium sekali gus menggalakkan lebih banyak premis berkenaan berdaftar secara sah dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Setakat ini, sebanyak 197 lesen gimnasium direkodkan di Kuala Lumpur bagi tahun 2025.
Dalam pada itu, pengusaha gimnasium turut digalakkan menawarkan diskaun keahlian antara pukul 6.00 pagi hingga 8.00 pagi serta 5.00 petang hingga 7.00 malam bagi menggalakkan aktiviti fizikal di luar waktu puncak.
Selain itu, kadar khas untuk warga emas juga dicadangkan bagi menyokong gaya hidup aktif dan kesihatan yang baik.