fb fb fb fb fb

FGTM digesa jalin kerjasama dengan tukang jahit mahir ASEAN, Asia

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berucap pada Pameran Fesyen Antarabangsa Kongres Persekutuan Penjahit Asia (FAMT) ke-28 /BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Persekutuan Persatuan-Persatuan Tukang Jahit Malaysia (FGTM) digesa untuk bekerjasama dengan tukang jahit induk di seluruh rantau negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Asia.

Ia bagi persediaan Malaysia untuk memegang jawatan pengerusi ASEAN tahun hadapan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, kerjasama sebegini dapat mempamerkan warisan pakaian tradisional Malaysia yang menonjolkan identiti budaya dan ketukangan negara yang unik.

"Saya percaya semua yang hadir pasti akan mendapat manfaat daripada Kongres FAMT dengan bertukar-tukar pengalaman, idea dan teknik. Ia akan memupuk kerjasama dalam industri untuk menghadapi dan mengatasi cabaran pasaran dan persekitaran,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Pameran Fesyen Antarabangsa Kongres Persekutuan Penjahit Asia (FAMT) ke-28 di ibu negara.

Tambah beliau, industri fesyen kini dikuasi oleh tukang jahit yang berkemahiran dan dapat menjana pendapatan serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau yang mewakili Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk memperkasakan lagi industri jahitan Malaysia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE