fb fb fb fb fb

Festival Taman Kuala Lumpur, suntik semangat warga kota hijaukan ibu negara

(FOTO FB DBKL)

KUALA LUMPUR, 3 Mac - Festival Taman Kuala Lumpur 2023 akan berlangsung bermula 4 sehingga 12 Mac ini selaras dengan matlamat menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya neutral karbon menjelang 2050.

Pengarah Jabatan Pembangunan Lanskap dan Rekreasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Zulkifli Endut berkata penganjuran festival itu bertujuan memupuk kesedaran dan menyuntik semangat warga kota membantu menghijaukan ibu negara termasuk menjalankan aktiviti berkebun di rumah. 

Katanya, antara yang menjadi tumpuan adalah pameran pelbagai spesies bunga dan tumbuhan serta menampilkan pakar seni, landskap dan hortikultur dalam mendidik pengunjung menghasilkan reka bentuk laman di kediaman masing-masing.

(Pengarah Jabatan Pembangunan Lanskap dan Rekreasi DBKL, Zulkifli Endut)

"Kita berbesar hati menjemput semua warga Malaysia...kemasukan percuma dan kita sasar untuk semua lapisan masyarakat dan kita memberi peluang penjaja menjalankan aktiviti perniagaan mereka.

"Kita ada kawasan 'Lepak Corner' dan 'Food Truck' dimana di samping kita mengunjungi taman, kita boleh menikmati juadah yang disediakan peniaga dan pengusaha makanan. Kita ada juga 'Zip Line' dimana kita beri peluang mencuba pengalaman memanjat pokok dan Flying Fox dari pokok ke pokok. Kita ada aktiviti sebelah malam dan impak pencahayaan pada waktu malam untuk melihat indahnya taman kita", kata Zulkifli.

Bercakap menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia, Zulkifli berkata antara komponen festival adalah Pertandingan Balkoni KL yang akan mempamerkan hasil reka bentuk landskap di balkoni yang sinonim dengan kediaman di bandar.

Media Baharu