Festival Budaya Selangor 2026: Pasar terapung tarikan utama ketengah identiti budaya Selangor

Foto RTM

KUALA LANGAT, 16 September – Pasar terapung atau ‘floating market’ menjadi tarikan utama Festival Budaya Selangor 2026 di Dataran Batu Laut, disini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasar terapung mengetengahkan identiti budaya dan makanan tradisi sembilan daerah melalui sembilan bot berhias mengikut keunikan setiap daerah.
  • Inisiatif itu diharap menjadi identiti baharu Batu Laut dan acara berkala jika mendapat sambutan menggalakkan.
  • Festival anjuran JKKN Negeri menyasarkan kehadiran sehingga 100,000 pengunjung.
  • Program lain termasuk pameran kebudayaan, sukan rakyat, aktiviti keluarga dan peluang pendapatan bagi peniaga kecil melalui reruai.

Pasar berkenaan mengetengahkan identiti budaya dan makanan tradisi dari sembilan daerah di Selangor menerusi penggunaan sebanyak sembilan bot sebagai simbol mewakili setiap daerah selain hiasan berkonsepkan seni dan budaya tempatan.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, inisiatif itu bukan sahaja menghidupkan semula tradisi lama, malah berpotensi menjadi identiti baharu kawasan Batu Laut.

Tambahnya, sekiranya mendapat sambutan menggalakkan, pasar berkenaan berpotensi dijadikan acara tetap, termasuk dianjurkan setiap enam bulan.

“Tapi kali ini ada sedikit kelainan dengan memperkenalkan konsep ‘floating market’ yang melibatkan 9 bot yang turut melambangkan 9 daerah dalam Selangor.

“Bot-bot ini akan berlabuh di pantai dan dihias mengikut identiti serta keunikan setiap daerah. Sekiranya inisiatif ini berjaya, saya berhasrat untuk menjadikan floating market di Batu Laut sebagai satu acara berkala, mungkin setiap enam bulan, sekali gus menjadi antara identiti dan tarikan tersendiri Batu Laut.

“Saya berharap penganjuran kali ini bukan sahaja merancakkan ekonomi malah turut memberi peluang kepada masyarakat untuk beriadah di pantai Batu Laut,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Malaysia dan Penutup Bulan Kebangsaan peringkat daerah Kuala Langat 2026 di Dataran Batu Laut, di sini.

Festival anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri yang berlangsung sehingga Ahad ini turut menyasarkan kehadiran sehingga 100,000 pengunjung.

Selain ‘floating market’, pengunjung turut boleh menikmati pelbagai pengalaman yang disediakan termasuk pameran kebudayaan, sukan rakyat, aktiviti kekeluargaan dan pasar klasik.

Penganjuran festival turut membuka ruang kepada peniaga kecil memperkenalkan produk dan menjana pendapatan menerusi reruai jualan yang disediakan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.