
PUTRAJAYA, 8 Januari – Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 dijadualkan berlangsung pada 5 Februari ini bagi memperkukuh naratif Ekonomi MADANI serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.
- FEM 2026 dijadualkan berlangsung pada 5 Februari bagi memperkukuh naratif Ekonomi MADANI.
- Forum bertujuan mempercepatkan pertumbuhan melalui produktiviti, pelaburan, inovasi, pekerjaan dan pendapatan.
- Menunjukkan komitmen negara memartabatkan kedudukan ekonomi dan memberi kemas kini terkini kepada industri.
- FEM 2026 dijangka dirasmikan Perdana Menteri dengan tema "Accelerating Growth, Advancing Malaysia".
- Fokus perbincangan termasuk pelaksanaan RMK-13, cabaran pertumbuhan mampan dan pengukuhan kerjasama dialog niaga.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata forum itu juga bertujuan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan produktiviti, pelaburan, inovasi, peluang pekerjaan, dan pendapatan rakyat.
“Ini juga menjadi ruang bagi negara bukan sahaja untuk memberi kemas kini terkini, tetapi, seperti yang dilaporkan pihak industri, ia turut menunjukkan komitmen kita dalam memartabatkan kedudukan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri Ekonomi Tahun 2026 dan Perhimpunan Bulan Januari Tahun 2026 bagi Kementerian Ekonomi di sini.
Tambah beliau, forum itu dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan tema ‘Accelerating Growth, Advancing Malaysia’.
Antara fokus utama FEM 2026 ialah perbincangan strategik untuk mengenal pasti kaedah pelaksanaan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, membincangkan cabaran pertumbuhan mampan, serta mempergiat kerjasama melalui sesi dialog dan rangkaian niaga.