SHAH ALAM, 9 Julai - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dijadual mengadakan lawatan kerja sehari ke Selangor hari ini bagi bertemu masyarakat setempat dalam beberapa program yang direncanakan.
Lawatan Fahmi dimulakan dengan sesi libat urus bersama pegawai lapangan Jabatan Penerangan Negeri Selangor yang akan diadakan di sekitar kawasan Banting.
Selesai sesi libat urus tersebut, beliau akan menghadiri Program Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di PEDi Kanchong Darat, Dewan Orang Ramai Simpang Bengkok, Kanchong Darat, Banting.
Ketika program berkenaan, beliau akan menyerahkan kad sim pakej perpaduan kepada golongan sasar dan melawat tapak pameran usahawan PEDi.
PEDi adalah satu daripada inisiatif KKD untuk membantu masyarakat setempat memperkasa kemahiran digital dan menjana pendapatan secara dalam talian atau menerusi platform e-Dagang sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup dan mobiliti sosial penduduk.
Jadual lawatan kerja Fahmi diakhiri dengan menghadiri Program Kita MADANI Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang, Banting pada 2.30 petang.
Pada program berkenaan, Fahmi dijadual menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf.-BERNAMA