Exco Johor arah PBT siasat papan iklan tidak patuh syarat

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor/RTM Johor

JOHOR BAHRU, 8 Februari – Kerajaan Johor mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu menyiasat papan iklan yang didapati tidak mematuhi syarat kelulusan, termasuk penggunaan bahasa selain Bahasa Kebangsaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Johor arah semua PBT siasat papan iklan yang tidak mematuhi syarat kelulusan.
  • PBT mesti ikut garis panduan jelas berkaitan pemasangan papan iklan.
  • Aduan diterima melalui media sosial mendorong siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.
  • Nasihat akan diberi dahulu; tindakan tegas jika pemilik gagal patuhi peraturan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata tindakan itu diambil susulan dua aduan yang diterima melalui media sosial berhubung isu berkenaan.

Beliau berkata semua PBT mempunyai garis panduan jelas berkaitan pemasangan papan iklan dan setiap pihak terlibat perlu mematuhinya.

“Walaupun setakat ini hanya dua aduan diterima, sebelum ini tahun lepas saya ingat ada satu kes di kawasan Stulang Laut dan tindakan telah diambil. Kini timbul lagi kes seumpama ini,” katanya.

Mohd Jafni berkata terdapat kemungkinan sebahagian pemilik atau pelabur papan iklan adalah pihak luar yang tidak mengetahui garis panduan ditetapkan oleh PBT.

“Jadi kita akan beri nasihat terlebih dahulu, namun sekiranya mereka berdegil dan gagal mematuhi peraturan, tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pembukaan semula sebuah pusat membeli-belah di Tampoi, di sini hari ini.