fb fb fb fb fb

ESSCOM berjaya sifar kes penculikan di pantai timur Sabah sejak 2020 - Saifuddin

Penubuhan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya memastikan tiada kes penculikan direkodkan di perairan pantai timur Sabah sejak 2020 hingga kini/Foto Hiasan/Bernama

SANDAKAN, 27 September – Penubuhan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya memastikan tiada kes penculikan direkodkan di perairan pantai timur Sabah sejak 2020 hingga kini.

Keberhasilan itu didorong oleh tindakan penguatkuasaan serta pemantauan berterusan agensi keselamatan susulan insiden pencerobohan di Tanduo pada 2013.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kesiapsiagaan pasukan serta kekuatan aset keselamatan bawah ESSCOM telah memperkukuh benteng pertahanan negara di kawasan tersebut sekali gus memberi keyakinan kepada pemain industri untuk merancakkan sektor pelancongan Sabah.

2709 SBH SAIFUDDIN JENAYAH 2Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/Foto Bernama

“Saya yakin untuk memasarkan potensi pelancongan di Pantai Timur Sabah dengan membawa para diplomat dan perwakilan asing melawat ke kawasan serta pulau-pulau berkenaan.

"Mereka boleh melihat sendiri keadaan di sana, seterusnya mencadangkan kepada negara masing-masing agar menarik balik sekatan perjalanan yang pernah dikenakan ekoran peristiwa dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Budi MADANI RON95, di sini.

Sementara itu, mengulas isu berkaitan FIFA dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Saifuddin menegaskan setiap keputusan pemberian kewarganegaraan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Perkara 19(1), Perlembagaan Persekutuan.

“Proses naturalisasi sangat teliti dan berlapis. Dokumen lengkap disemak, temu bual dijalankan, biometrik diambil serta verifikasi menyeluruh dibuat.

"KDN bertanggungjawab memastikan urusan kewarganegaraan berjalan secara sah, telus dan berlandaskan Perlembagaan. Kami kekal teguh melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab,” jelasnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN