fb fb fb fb fb

Empati dan sahsiah benteng elak gejala buli

Pensyarah Kanan Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr Nur Shahidah Paad.

KUALA LUMPUR, 20 Ogos - Tekanan sosial, rasa ingin dihormati dan pengaruh media sosial menjadi antara faktor penyumbang peningkatan gejala buli dalam kalangan generasi muda.

Pensyarah Kanan Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr Nur Shahidah Paad berpandangan faktor negatif seumpama itu berpotensi membentuk keperibadian yang tidak seimbang, seterusnya menjadikan seseorang individu gagal menguruskan emosi dengan baik.

Jelasnya, aspek pembangunan sahsiah perlu diberi penekanan bagi membentuk generasi muda yang mempunyai nilai empati dalam diri dan saling menghormati.

"Perkara pertama yang perlu ditekankan bukan sahaja pencapaian akademik, tetapi pencapaian kecerdasan daripada seluruh aspek semua. Dari segi emosinya, dari segi pemikiran sudah tentulah dan juga dari segi spiritual.

"Bila emosi dan spiritual ini ditekankan, dia tahu apa yang sepatutnya empati itu kena ada dalam diri dia. Kalau dia marah, macam mana cara nak mengawal marah. Kalau dia gagal nak mendapatkan sesuatu macam mana dia nak menguruskan kekecewaan itu. Dalam agama perkara buli dilarang, kena tahu mana baik mana buruk," katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Beliau menegaskan pendekatan menyeluruh perlu diambil semua pihak termasuk pelaksanaan kempen kesedaran dan pemantauan berterusan terhadap keberkesanan inisiatif sedia.

Dalam perkembangan sama, Dr Nur Shahidah turut memaklumkan gejala buli tidak terhad dari sudut fizikal, tetapi turut melibatkan buli siber atau secara maya.

Jelasnya, buli siber juga kini semakin berleluasa dan sukar dikesan kerana ia berlaku dalam ruang maya sehingga tanpa sedar memberi kesan negatif terhadap mental mangsa.

"Selain buli secara fizikal, buli siber juga sebenarnya banyak sangat berlaku. Kalau kita tengok di media sosial komen-komen netizen. Bila dia sampai menyakiti, merendahkan, menghina, menyindir..Itu antara perkara yang Kita boleh katakan sebagai buli siber," katanya. ###

TUN JULIA MOHD TAHIR