fb fb fb fb fb

Elak wujudnya projek sakit atau mendesak- Tengku Hassanal

KUANTAN, 28 Mac- Jabatan dan agensi kerajaan di Pahang, diminta untuk mempercepat pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah, langkah itu bagi mengelak wujudnya projek sakit atau lambat pelaksanaannya di negeri itu.

“Saya bertitah agar semua jabatan dan agensi dapat mempercepat pelaksanaan projek-projek yang diluluskan ini dengan mematuhi peraturan dan tatacara sedia ada. saya tidak mahu melihat projek sakit atau lambat pelaksanaannya di negeri Pahang. Setiap peruntukan yang diterima perlu dibelanjakan dengan cepat dan betul supaya rakyat menerima manfaat yang sebaiknya," titah Baginda.

Tengku Hassanal bertitah demikian semasa menyempurnakan Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.

Menyentuh mengenai pelaksanaan projek-projek persekutuan di negeri ini, Baginda bertitah agar kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dapat menjalin kerjasama erat bagi pelaksanaan projek-projek mendesak di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dan Belanjawan tahun 2022, serta projek berimpak
tinggi.

Titah baginda, ia termasuklah pelaksanaan projek-projek tebatan banjir dan pembangunan sistem amaran bencana, serta penambahbaikan sistem saliran di lokasi yang berisiko tinggi berlakunya bencana.

Berhubung aspek pendidikan, Tengku Hassanal menitahkan kerajaan negeri menetapkan misi dan visi untuk memastikan Pahang mempunyai institusi pendidikan terbaik meliputi sekolah, kolej, universiti dan pusat tahfiz yang mampu dicapai menerusi pelaksanaan strategi tepat dan komiten semua pihak.

Baginda seterusnya menitahkan kerajaan negeri untuk terus menambah keluasan kawasan rizab hutan simpan kekal (HSK) setiap tahun walaupun kawasan HSK dan hutan simpan di negeri ini telah ditambah lebih 7,000 hektar menjadikan jumlah HSK kira-kira 1.6 juta hektar setakat ini, 'menobatkan' Pahang sebagai negeri yang mempunyai rizab hutan terbesar di Semenanjung Malaysia.

"Saya sedang menggerakkan usaha memelihara alam sekitar termasuk inisiatif untuk memelihara Harimau Malaya yang kini di ambang kepupusan. Jika kita semua tidak memberi perhatian sewajarnya, tidak mustahil anak cucu kita hanya mengenal Harimau Malaya sekadar dalam Jata Negara atau di kulit pasport," titah baginda.


(Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan hari ini.)

Media Baharu