KUALA KUBU BHARU, 12 Julai- Masyarakat dinasihat untuk merujuk pihak berautoriti dan elak terpengaruh dengan kumpulan atau individu yang menawarkan solusi keagamaan menerusi program motivasi tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata masyarakat perlu lebih berwaspada sebelum mengikuti sebarang program dalam mencari penyelesaian konflik rumah tangga yang dihadapi.
"Dalam proses pencarian itu, ada kalanya seseorang bertemu dengan kumpulan-kumpulan tertentu yang seolah-olah meletakkan harapan sepenuhnya kepada mereka untuk menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.
Namun, nasihat saya, pastikan kumpulan atau hasrat itu benar-benar bertujuan untuk mencari penyelesaian yang sah dan berlandaskan syariat
Rujuklah kepada pihak yang berautoriti seperti Pejabat Mufti di negeri masing-masing untuk mendapatkan pandangan yang tepat, agar tidak terjebak dalam fahaman atau amalan yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar," kata Datuk Dr. Mohd Na'im kepada pemberita, hari ini.
Beliau mengulas demikian berhubung kemunculan satu kumpulan dinamakan ‘Ehati’, yang kini dalam siasatan JAKIM dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana didakwa melakukan penyelewengan ajaran dan kaedah yang meragukan sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.
Beliau turut menyeru masyarakat agar segera membuat aduan sekiranya timbul rasa ragu-ragu terhadap mana-mana ceramah, kursus atau pendekatan agama yang tidak jelas sumbernya.