KUALA LUMPUR, 9 Mac- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengambil beberapa langkah proaktif untuk memastikan kelancaran operasi lebuh raya dan plaza tol terutama pada waktu puncak sepanjang Ramadan kelak.
Menurut PLUS, antara langkah diambil ialah memastikan semua lorong di plaza tol beroperasi sepenuhnya, selain menyediakan alat bantuan mudah alih pembaca pembayaran tol dan alat bantuan sokongan di plaza tol kendaliannya.
"Selain itu, PLUS akan memastikan semua kemudahan awam di kawasan rehat dan rawat (R&R) beroperasi sepenuhnya untuk menampung keperluan yang tinggi semasa waktu puncak untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan ini," menurut kenyataan itu.
Katanya, berdasarkan data serta pola pergerakan trafik Ramadan yang lalu, PLUS menjangkakan waktu puncak pulang bekerja adalah di antara pukul 5.00 hingga 6.00 petang, apabila jumlah kenderaan akan berada pada tahap tertinggi pada setiap hari bekerja.
Sehubungan itu, PLUS menyarankan semua pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka dan mengelak daripada bergerak pada waktu puncak untuk lebih keselesaan.