fb fb fb fb fb

Ekspo Selangkah ke UiTM 2025 di Perlis tarik lebih 5,000 pengunjung

Ekspo Selangkah ke UiTM (SUiTM) buka peluang kepada bakal pelajar mengenali UiTM, tetapi juga sebagai bukti komitmen universiti dalam menyokong aspirasi pendidikan negara

ARAU, 12 Mei - Lebih 5,000 pengunjung dari seluruh negeri hadir memeriahkan Ekspo Selangkah ke UiTM (SUiTM) 2025 yang berlangsung selama dua hari, di UiTM Cawangan Perlis.

Program tahunan itu merupakan platform utama UiTM memperkenalkan program pengajian, kemudahan kampus dan peluang pendidikan tinggi kepada para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan institusi setara.

Menurut Rektor UiTM Cawangan Perlis Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor, program tersebut merupakan satu usaha berterusan dalam merakyatkan pendidikan tinggi serta memberikan akses pendidikan yang luas kepada semua lapisan masyarakat.

Ia bukan sahaja membuka peluang kepada bakal pelajar mengenali UiTM, tetapi juga sebagai bukti komitmen universiti dalam menyokong aspirasi pendidikan negara.

Selain itu, turut menjadi medan interaksi secara langsung antara masyarakat, pelajar dan pihak universiti, mereka yang hadir berpeluang berinteraksi dengan pensyarah dan pelajar sedia ada bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang kehidupan kampus dan prospek kerjaya selepas tamat pengajian.

"Sepanjang ekspo berlangsung, pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan termasuk taklimat program pengajian, kaunter permohonan kemasukan, sesi kaunseling pendidikan, pameran oleh fakulti dan pusat pengajian, lawatan kampus, serta aktiviti interaktif bersama pelajar dan alumni UiTM.

"Pihak industri dan agensi kerajaan turut serta bagi memberikan maklumat mengenai kerjaya dan peluang latihan industri," kata Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan pada Ekspo Selangkah Ke UiTM di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.

Statistik semasa menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan UiTM pada 2024 meningkat kepada 92.6 peratus, sekali gus menjadikan ia antara universiti paling diyakini majikan.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) ialah universiti komprehensif terbesar di negara ini yang menyediakan pendidikan inovatif dengan infrastruktur dan teknologi terkini merangkumi 34 kampus, empat kolej pengajian, 14 fakulti dan 9 pusat akademik seluruh negara

Menawarkan lebih daripada 500 program akademik di peringkat Asasi, Pra Diploma, Diploma, Sarjana Muda dan Doktor Falsafah serta Program Profesional.

TETITIA YUSOFF