PUTRAJAYA, 20 Mei- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan satu siasatan permohonan kad pengenalan dikendalikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengalami kelewatan serius sehingga mengambil masa lebih 10 tahun untuk diselesaikan.
EAIC dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan siasatan dijalankan terhadap aduan kes mengikut Subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009, mendapati terdapat kelemahan oleh pegawai penyiasat.
“Siasatan mendapati wujud isu kelewatan dan ketidakaturan dalam pengendalian kertas siasatan oleh pegawai penyiasat JPN semasa menjalankan siasatan melibatkan kes itu sehingga menyebabkan kelewatan tindakan diambil,” menurut kenyataan tersebut.
EAIC berkata kehilangan sijil lahir asal yang diimpaun JPN memberi kesan terhadap tempoh masa untuk siasatan berkenaan diselesaikan.
Sehubungan itu EAIC merumuskan terdapat keperluan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) JPN, khususnya dalam menetapkan tempoh masa wajar diambil tindakan lanjut berhubung kes yang mustahil untuk disiasat atau diselesaikan.
EAIC juga mendapati pelaksanaan Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) bagi pihak gagal hadir memberikan keterangan semasa proses siasatan perlu dikaji semula secara terperinci.
“Cadangan penambahbaikan SOP dan pelaksanaan Peraturan 25 hendaklah dilaksanakan bagi memastikan JPN dapat bertindak lebih proaktif dan berkesan dalam menjalankan siasatan,” menurut kenyataan itu.
EAIC berkata Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 4/2025 pada 8 April, memutuskan untuk merujuk hasil siasatan berkenaan kepada Ketua Pengarah JPN bersama dengan cadangan syor hukuman terhadap pegawai terlibat.
“EAIC memutuskan agar syor hukuman di bawah Peraturan 38 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 terhadap pegawai JPN terlibat dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JPN untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA