fb fb fb fb fb

Dua tan sampah berjaya dikutip sempena Program Hari Konservasi Pulau Sembilan

Sultan Perak, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan sijil penghargaan Program Hari Konservasi Pulau Sembilan tahun 2023 di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini, hari ini.

IPOH, 7 November- Lebih dua tan sampah berjaya dikutip di perairan gugusan Pulau Sembilan berhampiran Lumut, bersempena dengan Program Hari Konservasi Pulau Sembilan pada 23 September lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kesemua sampah tersebut terdiri daripada peralatan perikanan marin, plastik, aluminium dan kaca serta bahan yang tidak boleh dikitar semula.

Jelas beliau, usaha tersebut dilakukan melalui kolaborasi pelbagai pihak termasuk para sukarelawan dan penyelam daripada Nature & Oceanography Advocate Society; Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM); Persatuan Aktivitis Sahabat Alam; dan Samudera 9 Perak.

"Program konservasi ini sangat penting di tengah-tengah isu sampah sarap yang dilaporkan semakin meruncing serata dunia. Selain aktiviti pembuangan sampah, sektor pelancongan yang tidak mampan turut menjejaskan kelestarian destinasi dan produk," katanya.

Tambahnya, inisiatif yang digerakkan Perbadanan Taman Negeri Perak itu sebagai pemula kepada pelbagai rancangan dan program konservasi Pulau Sembilan sebagai usaha berterusan bagi memulihara khazanah marin secara lebih khusus di perairan gugusan pulau berkenaan.

"Keunikan dan keindahan Pulau Sembilan menuntut komitmen kita semua untuk sama-sama menyayangi dan memelihara khazanah ini daripada rosak atau musnah angkara perbuatan tidak bertanggungjawab. Sekiranya tidak dijaga dan dipulihara, kekayaan biodiversiti marin di itu sudah tentu akan mengalami kemerosotan dan kepupusan," katanya.

Saarani berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Program Hari Konservasi Pulau Sembilan tahun 2023 di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini, hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

ZEHRA BINTI ZAMBRI