
IPOH, 13 Ogos – Sebanyak dua kes denggi direkodkan di Lim Garden, Ipoh masing-masing pada Mei dan Jun tahun ini, namun tiada kes chikungunya dilaporkan di lokaliti berkenaan.
- Pejabat Kesihatan Daerah Kinta jalankan penilaian risiko susulan aduan penduduk berhubung keadaan persekitaran.
- Kes chikungunya terakhir di Lim Garden pada Januari 2024, membabitkan empat kes; tiada wabak dilaporkan tahun ini dan tahun lepas.
- Perak rekod 1,712 kes denggi hingga 8 Ogos, meningkat 38.6% berbanding tahun lalu; satu kematian dilaporkan.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta kini menjalankan penilaian risiko susulan aduan penduduk berhubung keadaan persekitaran di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kes chikungunya terakhir di Lim Garden dilaporkan pada Januari 2024, membabitkan empat kes.
“Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada tahun ini dan tahun lepas berlaku di Lim Garden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau lokasi berkenaan di Ipoh, hari ini.
Sementara itu, Perak merekodkan sebanyak 1,712 kes denggi sehingga 8 Ogos lalu, meningkat 477 kes atau 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Satu kematian akibat denggi turut dilaporkan di negeri itu pada tahun ini.
Pihak berkuasa kesihatan turut mengingatkan masyarakat supaya memastikan persekitaran kediaman sentiasa bersih dan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes bagi membendung penularan denggi.