KUALA LUMPUR, 21 Oktober- Dasar Sosial Negara 2030 (DSN 2030) adalah bukti komitmen kerajaan membina sebuah negara yang lebih sejahtera, inklusif dan progresif.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata fokus dasar itu menetapkan hala tuju sosial negara serta mengenal pasti dan menyelesaikan isu sosial secara holistik.
Beliau berkata DSN 2030 merupakan hasil kerjasama erat pelbagai pihak termasuk kementerian, agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
"Dalam usaha mengejar pertumbuhan ekonomi, kita perlu melabur dalam kesejahteraan sosial melalui dasar yang menggalakkan peluang ekonomi dan memastikan pengagihan sumber yang adil serta akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan sosial", katanya pada Majlis Peluncuran DSN 2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Tambahnya, negara memerlukan sebuah dasar sosial yang lebih komprehensif dan menyeluruh untuk memacu agenda pembangunan sosio ekonomi.
DSN 2030 yang dilancarkan sangat bertepatan dengan keperluan mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pembangunan sosial negara.
Hadir sama, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.