KUALA LUMPUR, 18 Februari- Dewan Rakyat hari ini menerima kunjungan rasmi julung kalinya daripada delegasi Parlimen United Kingdom yang diketuai oleh Speaker of the House of Commons’ Lindsay Hoyle.
Ketibaan beliau di Parlimen Malaysia disambut oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
"Kepada Tuan Yang Terutama Sir Lindsay Hoyle dan delegasi, kami mengalu-alukan lawatan yang bersejarah ke Dewan Rakyat ini.
"Kami yakin lawatan ini akan mengukuhkan lagi hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin antara Parlimen Malaysia dan United Kingdom," kata Johari sebelum memulakan persidangan Dewan Rakyat.
Dalam rangka lawatan itu, Lindsay mengadakan mesyuarat dua hala berasingan bersama kedua-dua pemimpin Parlimen bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan legislatif antara Malaysia dan United Kingdom.
Beliau turut menyaksikan sesi persidangan Dewan Rakyat serta meninjau perjalanan sidang di bangunan Parlimen.