fb fb fb fb fb

Dewan Negara lulus RUU kawalan produk merokok

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Disember - Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dengan undian suara.

RUU yang dibentang Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad itu antaranya memperuntukkan larangan bagi menjual dan membeli produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok kepada Orang Belum Dewasa.

Dzulkefly ketika menggulung perbahasan berkata ia juga menyaksikan pengguguran peruntukan berkaitan generasi penamat (GEG) iaitu larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok bagi orang yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya.

"Pengguguran GEG merupakan keputusan kolektif setelah mengambil kira pandangan Jabatan Peguam Negara.

"Terdapat isu ketidaksamarataan dan diskriminasi kedudukan undang-undang dalam peruntukan GEG, ini bermaksud memberi layanan yang berbeza terhadap orang yang lahir sebelum 1 Jan 2007 dan mereka yang lahir selepas atau pada 1 Jan 2007. Konsep GEG ini akan menyebabkan layanan berbeza terhadap dua kumpulan yang lahir pada tahun berbeza," katanya.

Rang undang-undang yang mengandungi Fasal 1 hingga 54 itu dibentang semula bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara pada Rabu, sebelum dibentang untuk bacaan kali ketiga hari ini dan dibahas 22 Ahli Dewan Negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN