‘Arkitek Bangsa’ dicadang sebagai bahan tayangan peringkat nasional

Tan Sri Dr Johari Abdul

KUALA LUMPUR, 16 Julai – ‘Arkitek Bangsa’, video pendek yang mengangkat aspirasi melahirkan generasi pemimpin masa depan, dicadang diperluas sebagai bahan tayangan di peringkat nasional bagi menyemai semangat kepimpinan dan cintakan negara dalam kalangan generasi muda.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tan Sri Dr Johari menyarankan video FINAS dimanfaatkan kementerian dan agensi sebagai medium pembinaan negara serta pembentukan kesinambungan kepimpinan.
  • Beliau menegaskan setiap anak muda mesti mempunyai kebanggaan terhadap Malaysia dan semangat untuk memimpin tanpa mengira latar pendidikan.
  • Video diharap meningkatkan kesedaran sejarah pembinaan negara termasuk penubuhan MAGERAN dan latar belakang Rukun Negara.
  • Penghasilan dijalankan cepat selepas pembentangan konsep, proses jalan cerita, skrip dan penerbitan disiapkan untuk melahirkan pemimpin masa depan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, berkata video terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu wajar dimanfaatkan kementerian dan agensi kerajaan sebagai medium pembinaan negara serta membentuk kesinambungan kepimpinan negara.

“Kita merasakan bahawa setiap anak muda di Malaysia, sama ada mereka yang berada di bangku sekolah ataupun yang telah pun melepasi bangku sekolah dan masuk ke universiti, ataupun mereka yang tidak berpeluang masuk universiti, anak muda mesti ada satu kebanggaan di Malaysia dan mesti ada perasaan untuk memimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Tayangan Perdana Video Arkitek Bangsa, di Parlimen, di sini hari ini.

Ramai generasi muda tidak mengetahui peristiwa penting seperti penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dan latar belakang Rukun Negara, justeru video itu diharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai sejarah pembinaan negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin, berkata penghasilan video berkenaan bermula selepas pasukannya membentangkan beberapa konsep kepada Tan Sri Dr Johari sebelum tajuk ‘Arkitek Bangsa’ dipilih.

“Proses penyediaan jalan cerita, skrip dan penerbitan disiapkan dalam tempoh singkat bagi merealisasikan hasrat melahirkan generasi pemimpin masa depan melalui mesej yang disampaikan menerusi video itu,” katanya.

Sementara itu Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac pula berkata, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha pembinaan negara yang perlu dimulakan sejak di bangku sekolah supaya generasi muda memahami peranan Parlimen, membentuk sahsiah diri dan menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.