DBKL tawar pembaharuan lesen perniagaan sehingga tiga tahun

Foto fail / BERNAMA

PUTRAJAYA, 20 Mei– Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan inisiatif baharu pembaharuan lesen perniagaan sehingga maksimum tiga tahun bermula 1 Julai depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif dilaksanakan untuk memudahkan urusan peniaga dan membantu mereka menghadapi cabaran ekonomi semasa.
  • Peniaga boleh memilih pembaharuan lesen tahunan, dua tahun atau tiga tahun mengikut kemampuan masing-masing.
  • DBKL menawarkan potongan fi 5% untuk pembaharuan dua tahun dan 10% bagi tempoh tiga tahun.
  • Sistem e-Lesen dipertingkat: permohonan sepenuhnya dalam talian, selesai kira-kira tiga minit, cetak sendiri dan penggunaan kod bar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, inisiatif itu dilaksana bagi memudahkan urusan peniaga selain membantu mereka menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Langkah itu sekali gus memperkukuh ekosistem perniagaan bandar raya yang lebih mesra pelanggan, efisien dan progresif.

“Ketika ini terdapat lebih 95,000 pemegang lesen perniagaan di Kuala Lumpur dan proses pembaharuan lesen setiap tahun sering memberi tekanan kepada peniaga.

Ada dalam kalangan mereka terpaksa menggunakan khidmat orang tengah bagi mempercepatkan urusan pembaharuan lesen kerana bimbang lesen tidak dapat diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Opsyen Pemanjangan Tempoh Sah Laku Lesen Perniagaan Berstatus Lesen Tetap di sini, hari ini.

Katanya, peniaga masih boleh memilih pembaharuan lesen secara tahunan.

Bagaimanapun pilihan turut diberi untuk memperbaharui lesen bagi tempoh dua atau tiga tahun mengikut kemampuan masing-masing.

Tambah beliau, DBKL turut menawarkan potongan fi lesen sebanyak lima peratus bagi pembaharuan dua tahun dan 10 peratus untuk tempoh tiga tahun.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, sistem e-Lesen baharu yang ditambah baik membolehkan urusan permohonan dan pembaharuan lesen dilakukan sepenuhnya secara dalam talian.

“Proses tersebut kini boleh diselesaikan dalam tempoh kira-kira tiga minit sahaja.

Pemilik premis boleh mencetak sendiri lesen perniagaan masing-masing tanpa perlu hadir ke pejabat,” katanya.

Tambah beliau, sistem baharu itu turut memperkenalkan penggunaan kod bar bagi memudahkan urusan penguatkuasaan di lapangan.

Ketika ini, kira-kira 42,000 permohonan sedang diproses manakala sebanyak 92,263 lesen masih aktif.

Antara sektor perniagaan yang layak dipertimbangkan bagi pembaharuan lesen sehingga tiga tahun ialah premis pejabat, bengkel dan kejuruteraan, penternakan dan pertanian serta hotel.

Maklumat lanjut mengenai pembaharuan lesen pelbagai tahun boleh diperoleh menerusi portal e-Lesen DBKL.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.