fb fb fb fb fb

Dakwaan keretakan di SPE: LLM, syarikat konsesi diarah lakukan pemeriksaan

Keretakan pada jejambat Lebuh Raya SPE yang dikatakan semakin membesar/ Foto: X UpdateInfo

KUALA LUMPUR, 8 Jun- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) diarah menjalankan pemeriksaan dan penilaian segera di persimpangan bertingkat lebuh raya berkenaan di Jalan Cheras yang didakwa retak.

Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi menerusi akaun X berkata keselamatan semua pihak terutama pengguna jalan raya amat dititikberatkan.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada satu hantaran menerusi akaun X berserta gambar yang mendakwa keretakan di persimpangan bertingkat lebuh raya berkenaan semakin besar.

“Saya amat memandang serius perkara ini. Saya telah mengarahkan LLM dan syarikat konsesi Lebuh Raya SPE untuk turun ke tapak pada malam ini juga bagi membuat pemeriksaan dan penilaian dengan kadar segera,” katanya menerusi platform X, lewat malam tadi.

SPE dibuka sepenuhnya pada 3 November lalu mempunyai laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat.

SPE dibahagikan kepada empat seksyen utama iaitu Kerinchi - Salak (Seksyen 1), Salak - Pandan (Seksyen 2), Pandan - Setiawangsa (Seksyen 3) dan Setiawangsa - Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7 kilometer.

Ia menghubungkan beberapa lebuh raya lain seperti Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang - Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) dan lain-lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu negara.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI