fb fb fb fb fb

Dakwaan bekalan beras kurang disifatkan kes terpencil - TPM

Foto RTM

KLUANG, 14 Mac - Dakwaan kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran ketika ini hanya membabitkan beberapa kawasan dan disifatkan sebagai kes terpencil.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pihak Majlis Tindakan Sara Hidup, NACCOL akan membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, KPDN bagi memantau isu berkenaan.

"Memang diakui ada, tapi di kawasan terpencil.

"Kes terpencil dalam perkara ini.saya sebagai juga anggota NACCOL ini akan membantu KPDN untuk memantau keadaan ini.

"Tentunya mekanisme yang akan diambil bagi menentukan beras-beras mencukupi termasuk isu beras agar kejadian terpencil dan kekurangan beras dapat diatasi", katanya ketika ditemui media dalam satu majlis di sini.

Ahmad Zahid mengulas perkara itu, susulan dakwaan Pengerusi Pasukan Bertindak (kluster makanan) NACCOL, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Faisal mengenai ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran, akibat kegagalan unit kawal selia padi dan beras membuat penguatkuasaan rapi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri telah diarah supaya memantau isu berkaitan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam sektor pertanian ketika ini.
 
Beliau berharap peningkatan gaji minimum dapat dilaksana bagi menarik minat tenaga kerja tempatan dalam bidang berkenaan pada masa akan datang.
 
Perkara itu perlu diselesaikan, seterusnya mengelak jangkaan kenaikan harga sayuran bermula bulan hadapan, disebabkan pembatalan kuota pekerja asing.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD