fb fb fb fb fb

CUEPACS cadang tempoh lantikan tetap pekerja kontrak dikurangkan kepada 10 tahun

Foto Fail

IPOH, 15 Mac - Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan dapat mempertimbang cadangan pengurangan tempoh lantikan tetap pekerja kontrak perkhidmatan awam dari 15 kepada 10 tahun.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, tempoh tersebut dilihat sudah memadai untuk mereka diserap ke jawatan tetap dengan pengalaman dimiliki.

Sebelum ini, dasar yang diluluskan adalah pekerja kontrak boleh diberi jawatan tetap selepas berkhidmat selama 15 tahun dan ke atas secara "one-off".

"Kami merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melihat kembali dan ihsanlah kepada mereka yang telah pun bekerja kontrak, telah memberi perkhidmatan tidak berbelah bahagi berkhidmat di negara ini memberi mudah cara kepada rakyat dan negara dan sentiasa perkhidmatan terbaik.

"Berilah peluang kepada mereka satu jawatan tetap kepada anggota tersebut 'one off' untuk dia dalam tempoh 10 tahun," kata Adnan Mat ketika menghadiri Program Bubur Lambuk AUEGCAS  di perkarangan Pejabat AUEGCAS Perak, di sini.

Dalam perkembangan sama, CUEPACS juga mengharapkan peraturan dan pekeliling lama yang masih terpakai dalam perkhidmatan awam dapat ditambah baik, termasuk kadar bayaran elaun kerja lebih masa yang dilihat sangat rendah dan tidak relevan pada masa kini.

"Sedikit sebanyak telah memberi kekangan kepada mereka untuk menampung kehidupan dengan kadar elaun yang agak rendah ini, bagaimana mereka bekerja dalam satu jam tetapi kiraannya rendah dan mereka terpaksa memberi pengorbanan yang lebih tetapi pendapatan masih lagi tidak selesa tidak setimpal dengan pengorbanan.

"Justeru elaun ini perlu dinaikkan segera," katanya dengan menyatakan kadar bayaran elaun kerja lebih masa ketika ini ialah antara RM1.125 hingga RM2 sejam.

TETITIA YUSOFF