fb fb fb fb fb

Cuaca panas? TNB kongsi tip jimat tenaga elak bil melambung tinggi

(Memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST)
juga membantu menjimatkan penggunaan elektrik di kediaman/FOTO TNB)

KUALA LUMPUR, 1 Mei - Kepanasan melampau sejak minggu lalu membuatkan kita merasa tidak selesa untuk bergerak sehingga menjejaskan aktiviti seharian.

Mana tidaknya Malaysia sekarang mengalami cuaca panas berpanjangan sehingga Ogos susulan musim peralihan monsun.

Malah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyifatkan perayaan Aidilfitri tahun ini sebagai musim raya paling panas dalam sejarah negara.

Semua negeri terasa dengan perubahan cuaca panas namun yang paling terasa adalah negeri di Utara dan Pantai Timur bersempadanan dengan Thailand sehingga mencecah suhu lebih 37 darjah celcius.

Penulis bercuti menyambut Hari Raya Aidilfitri ke Sarawak turut merasai cuaca kepanasan sehingga 34 darjah celcius.

Sepanjang musim perayaan tuan rumah yang mempunyai penyaman udara akan memasang pendingin hawa untuk tempoh yang lama.

Mungkin ada yang memasang dari pagi sehingga ke malam.

Oleh itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan pengguna kediaman untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah sepanjang tempoh peningkatan titik panas dan jerebu berikutan cuaca kering ketika ini.

Penggunaan elektrik mungkin meningkat akibat cuaca yang agak panas selain pengguna sedang berada dalam musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

"Untuk memantau penggunaan elektrik secara langsung, pengguna juga digalakkan untuk memanfaatkan perkhidmatan meter pintar sekiranya sudah siap dipasang, sama ada menerusi portal myTNB atau aplikasi myTNB," menurut kenyataan itu pada Isnin.

(Pada waktu malam, hidupkan kipas bagi membantu pengedaran udara di dalam bilik.
Suhu bilik akan mencecah tahap yang selesa lebih cepat selepas beberapa jam pendingin hawa dipasang/FOTO TNB)

TNB memaklumkan, antara perkara mudah yang boleh diamalkan adalah mematikan alat penyaman udara, kipas dan lampu dalam bilik yang kosong serta mematikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai digunakan.

Selain itu, menghidupkan kipas pada waktu malam membantu penggerakan udara di dalam bilik dan tetapkan masa untuk alat penyaman udara dimatikan bagi penjimatan elektrik.

Pengguna juga digalak memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk membantu menjimatkan penggunaan elektrik di kediaman.

Di samping itu, pengguna disaran menyenggara alat penyaman udara dengan kerap bagi membolehkan ia beroperasi pada tahap optimum selain membersihkan penapis agar udara sejuk dapat keluar dengan lebih lancar.

Pengguna dinasihatkan untuk memantau penggunaan elektrik secara langsung melalui portal myTNB (www.mytnb.com.my) atau aplikasi myTNB.

Mengenai langkah penjimatan elektrik pula, pengguna boleh melayari www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/tips-tricks.

(Kerap menyenggara pendingin hawa membolehkan ia beroperasi pada tahap optimum. Bersihkan penapis agar udara sejuk dapat keluar dengan lebih lancar/FOTO TNB)

BERITA BERKAITAN
Cadangan Tubuh Jawatankuasa Khas Mengenai Cuaca Panas Dibawa Ke Kabinet
Kurangkan minuman manis, kafein ketika cuaca panas
Malaysia dijangka alami cuaca panas hingga Ogos
Suhu panas dicatatkan di negeri Kedah
Sekolah dibenar tutup jika suhu lebih 37 darjah celcius
Strok haba, tiada kes kecemasan di Melaka
Kenal pasti strok haba pada kanak-kanak
Strok haba: Kerajaan koordinasi kerjasama negeri dan agensi bantu rakyat
Masyarakat perlu bersedia hadapi musim panas, cegah strok haba

Media Baharu