KAPIT, 27 November- Seorang wanita sarat mengandung yang diselamatkan daripada banjir kilat di Rumah Richard Engking Sungai Amang di sini hari ini selamat melahirkan bayi perempuan di Hospital Kapit sekitar pukul 7.30 pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, panggilan kecemasan mengenai kejadian diterima pihaknya kira-kira pukul 5.00 pagi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit yang tiba di lokasi mendapati paras air mencecah tiga meter dan hampir memasuki lantai rumah panjang tersebut.
Anggota bomba menggunakan tali dan perahu milik penduduk kampung untuk memindahkan wanita itu sebelum dihantar ke Hospital Kapit dengan bantuan orang awam.
Hujan lebat yang melanda awal pagi tadi turut menyebabkan beberapa kawasan rendah di sini dilanda banjir kilat.
Antara kawasan terjejas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Satu di Jalan Bukit Goram dan Rumah Richard Engking Sungai Amang di Jalan Selirik.
Di SK Sungai Satu, banjir melimpah ke dalam kelas dan kediaman guru dengan paras air mencecah antara 0.3 hingga 0.9 meter.
Pemeriksaan bomba di kawasan itu mendapati keadaan terkawal dan tiada pemindahan dilakukan.
Banjir kilat di Rumah Richard Engking pula menyebabkan hampir semua kenderaan yang diletakkan di halaman rumah tenggelam.
Paras air yang naik sejak pukul 6.00 pagi mulai surut menjelang tengah hari.
Dalam insiden berasingan, tanah runtuh dilaporkan berlaku di Rumah William Ubu Sungai Sut sekitar pukul 3.00 pagi.
Tanah runtuh itu menjejaskan bahagian dapur enam unit rumah panjang. Pasukan bomba yang dikerah ke lokasi mendapati keadaan terkawal dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.