KUALA LUMPUR, 27 November- Kerajaan Malaysia komited untuk memastikan proses penghantaran pulang rakyat Palestin yang ingin kembali ke negara asal dirancang dengan teliti, khususnya dalam mengutamakan aspek keselamatan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF), Datuk Lokman Hakim Ali, memaklumkan permohonan dan semua dokumentasi telah disampaikan kepada pihak berkuasa Mesir.
Namun demikian, kerajaan kini menunggu keputusan daripada pihak berkuasa Mesir dan berharap ia dapat diproses dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, hampir 10 daripada 128 warga Palestin yang dibawa ke Malaysia pada Ogos lalu bagi menerima rawatan, telah menyatakan hasrat untuk pulang ke negara asal. Manakala, selebihnya memilih untuk terus menetap sementara di Malaysia atau berpindah ke negara ketiga.
"Sementara mereka menunggu jawapan tersebut, mereka juga akan berada bersama dengan komuniti Palestin yang akan duduk di luar.
"... dan sekiranya semuanya bersedia, keadaannya selamat untuk kita menghantar mereka pulang dengan semua aturan dan pengurusan di Egypt juga dapat dilaksanakan dengan baik, maka kita akan merancang ke arah tersebut", katanya kepada pemberita di Majlis Penyerahan Pengurusan Kebajikan Warga Palestin kepada Ops Ihsan di ibu negara.
Sementara itu, kerajaan bersetuju untuk meneruskan misi bantuan kemanusiaan kepada 128 rakyat Palestin yang dibawa ke Malaysia pada Ogos lalu, untuk tempoh setahun lagi.
Usaha itu dilaksanakan melalui kerjasama bersama lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi penyerahan pengurusan kebajikan kepada Ops Ihsan.
Ketua Setiausaha MINDEF menjelaskan penyerahan ini memberi tumpuan kepada penambahbaikan pascarawatan, termasuk aspek penempatan sementara di luar Wisma Transit, pendidikan dan rawatan kesihatan.
"Bila kita telah menghampiri waktu tamat tempoh tersebut, ada beberapa permohonan daripada warga Palestin yang ingin menetap di Malaysia memandangkan keadaan yang masih belum selamat.
"Mereka semua bergabung tenaga dan sumber untuk memastikan bahawa apabila rakyat Palestin ini berada di luar daripada Wisma Transit ini nanti dan mereka dapat diberi perhatian yang baik", katanya.