TAWAU, 26 November - Penyakit tidak berjangkit (NCD) kini menjadi cabaran kesihatan terbesar negara dan memerlukan tindakan berterusan melalui program saringan menyeluruh di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes diabetes mellitus di Tawau meningkat daripada 8,502 tahun lalu kepada 8,692 pada tahun ini. Manakala kes hipertensi turut menunjukkan peningkatan iaitu 6,800 kepada 7,081 kes dalam tempoh sama.
Beliau berkata peningkatan itu didorong oleh perubahan gaya hidup, amalan pemakanan dan faktor risiko metabolik yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat.
"Penyakit tidak berjangkit kini menjadi cabaran yang lebih besar berbanding penyakit berjangkit. Saya telah menekankan bahawa daripada setiap 36 juta ada diabetes, satu daripada dua orang tidak menyedari bahawa mereka mengidap penyakit ini.
"Tadi, saya sempat menemui beberapa warga Tawau yang baru menjalani saringan kesihatan, yang mendapati mereka menghidap hipertensi atau darah tinggi, dan telah dirujuk ke hospital.
"Di sini saya ingin menekankan bahawa program seperti ini dijalankan sepanjang tahun, tiada musimnya dan tiada rehatnya", katanya.
Beliau berkata demikian kepada Media selepas berucap merasmikan Program Kem Kesihatan Kukusan 2025 di Taman King Fook, Tawau.
Dalam pada itu, Tawau mencatat pencapaian membanggakan apabila program National Health Screening Initiative (NHSI) melepasi sasaran dengan 10,073 pemeriksaan kesihatan, iaitu 100.7 peratus daripada sasaran.
Kementerian Kesihatan (KKM) menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti masyarakat semakin sedar kepentingan pencegahan awal apabila akses diberikan secara mudah dan meluas.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, KKM sedang dalam usaha menaik taraf Hospital Tawau daripada kategori 2 kepada kategori 1.
Ia seiring dengan pelancaran blok baharu Hospital Tawau yang dirasmikan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk cadangan menaikkan kapasiti kepada 585 katil serta tambahan 150 katil baharu.
"Pesakit tidak lagi perlu pergi ke Kota Kinabalu, Kuching, atau Semenanjung kerana Tawau akan menjadi pusat rujukan. Dengan perkembangan disiplin, kepakaran sedia ada, serta subkepakaran yang ada, adalah wajar untuk kita berusaha meningkatkan status hospital ini daripada kategori 2 kepada kategori 1.
"Dengan sumber manusia, pakar-pakar, dan keseluruhan kemampuan yang ada, Tawau berpotensi dinaikkan sebagai hospital kategori 1", katanya.
Dalam perkembangan lain, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Tan Sri Liew Yun Fah telah mengemukakan permohonan untuk membuka klinik kesihatan di Taman King Fook dan Taman Semarak Tawau.
Ini bagi memudahkan penduduk terutamanya warga emas mendapatkan rawatan berhampiran dengan kawasan kediaman mereka.