KUALA LUMPUR, 28 Februari- Seluas 100 hektar penanaman bawang kecil akan dibangunkan bermula tahun ini bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap bawang import.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha itu merupakan fasal awal atau fasa prakomersial yang dilaksanakan menerusi Program Pembangunan Tanaman Bawang.
Jelasnya, fasa prakomersial adalah bertujuan menerokai potensi penanaman bawang kecil di Malaysia dengan 70 tan metrik benih bebawang kecil dan 230 kilogram (kg) biji benih bawang kecil akan dibekalkan oleh pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
"Seluas 100 hektar kawasan penanaman bawang akan dibangunkan iaitu 50 hektar pada tahun 2024 (tahun ini) dan 50 hektar pada tahun 2025 dengan jangkaan hasil pengeluaran sebanyak lima tan metrik per hektar.
"Penanaman bawang ini boleh dilaksanakan sebanyak dua kali setahun. Dijangkakan pengeluaran bawang bagi fasa ini (fasa prakomersial) adalah sebanyak 1,000 tan metrik," katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad di Dewan Rakyat hari ini.
Program Pembangunan Tanaman Bawang melibatkan dua fasa iaitu fasa prakomersial dan fasa komersial pada 2026 hingga 2030.
Ketika ini, Malaysia bergantung sepenuhnya kepada sumber bawang yang diimport dari India, Pakistan, Belanda, China dan Thailand.
Pada tahun 2022, Malaysia mengimport bawang sebanyak 687,000 tan metrik dengan nilai RM1.58 bilion bagi menampung penggunaan domestik.