BEAUFORT, 26 November - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju supaya hutang pembangunan tanah bagi Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) oleh Felcra Berhad (Felcra), yang dikategorikan sebagai projek kurang berdaya maju di seluruh negara, dilupuskan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.
Beliau berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira beban kewangan yang ditanggung peneroka, termasuk kerugian akibat penurunan hasil serta masalah pengurusan projek pada masa lalu.
Pelupusan hutang tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun, namun tertakluk kepada kedudukan kewangan syarikat berkaitan yang mesti kekal stabil dari tahun ke tahun.
"Saya diberikan tanggungjawab untuk melihat bukan hanya keuntungan kepada Felcra tetapi keuntungan untuk peneroka Felcra keseluruhannya. Maka permintaan untuk melupuskan hutang itu saya persetujui sepenuhnya secara berperingkat.
Jangan bebankan rakyat dengan hutang tertunda. Jangan bebankan kepada para peneroka ini dengan hutang yang disebabkan oleh kerugian kerana keluaran berkurangan ketika itu, dan disebabkan oleh masalah-masalah lain Felcra dibangunkan semula," kata beliau dalam Program Felcra MADANI Santuni Rakyat Lumadan di Dataran Bagandang, Beaufort.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kementeriannya akan memegang tanggungjawab penuh dalam memastikan pengurusan Felcra diperkemaskan.
Ini termasuk memastikan syarikat pegangan serta anak syarikat di bawahnya memberikan keuntungan yang dapat dikembalikan kepada peneroka.
Beliau turut mengumumkan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Felcra yang akan dirasmikannya pada bulan depan akan memberi dividen terbaik kepada pemegang saham.