(Foto BERNAMA)
PUTRAJAYA, 1 Mei- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan mempertimbangkan penyerapan 30,000 kakitangan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata CUEPACS menerima aduan daripada kakitangan kontrak berkenaan isu itu dan ia telah dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Jelasnya, satu dasar berhubung kakitangan kontrak juga telah diluluskan kerajaan bagi membolehkan mereka diberi jawatan tetap setelah berkhidmat selama 10 hingga 15 tahun.
"Kami sebenarnya telah membincangkan dengan JPA satu dasar untuk pekerja kontrak ini dan ia telah diluluskan kerajaan.
"Pekerja kontrak ini boleh diberi jawatan tetap apabila mereka telah berada dalam pekerjaan kontrak selama 15 tahun dan ke atas.
"Cuma, agak malang sebahagian daripada pekerja-pekerja tersebut yang telah melangkaui 10 tahun, kontrak tiba-tiba tidak disambung, sedangkan mereka mampu untuk berkhidmat lima tahun lagi bagi mendapatkan jawatan tetap," katanya kepada pemberita di sini.
(Foto BERNAMA)