KUALA LUMPUR, 26 November -Pemantauan terhadap gaya hidup mewah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipertingkat bagi memastikan perbelanjaan dan pemilikan aset tidak melebihi sumber pendapatan sah.
- Pemantauan gaya hidup mewah anggota PDRM dipertingkat untuk pastikan perbelanjaan sepadan dengan sumber pendapatan sah.
- Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan jalankan semakan aset melalui pangkalan data JPJ (MYSikap).
- Pemeriksaan berkala di balai dan IPD dilaksanakan untuk mengesan pemilikan aset mencurigakan.
- Permohonan keluar negara diperketat untuk elak perjalanan ditaja yang boleh wujudkan konflik kepentingan.
- 24 anggota dipecat atas kesalahan rasuah (Jan 2023–Okt 2025) dan penubuhan IPCC tingkat akauntabiliti.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah itu antara inisiatif memperkasa budaya integriti dalam pasukan.
Beliau memaklumkan, pemantauan akan dilaksanakan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), termasuk semakan aset melalui pangkalan data JPJ (MYSikap) serta pemeriksaan berkala di balai dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
“Permohonan keluar negara turut diperketat bagi mengelakkan perjalanan anggota ditaja pihak tertentu yang boleh menimbulkan konflik kepentingan,” katanya pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Dr Shamsul Anuar turut memaklumkan, semua program dalaman PDRM kini wajib mematuhi Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia dan penilaian JIPS.
Langkah itu bagi menutup ruang salah guna kuasa, penyelewengan dan unsur rasuah dalam pembiayaan majlis.
Beliau menegaskan, penubuhan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) adalah usaha kerajaan menangani aduan salah laku serta memperkukuh akauntabiliti anggota.
Menurutnya, 24 anggota PDRM dibuang kerja atas kesalahan rasuah dari Januari 2023 hingga Oktober 2025, mencerminkan ketegasan kerajaan memastikan integriti pasukan terus terpelihara.