fb fb fb fb fb

Wisma Putra pantau rapat banjir di Hat Yai, usaha menyelamat diteruskan

Keadaan banjir di Hat Yai/ AFP

PUTRAJAYA, 26 November - Wisma Putra terus memantau rapat situasi banjir serius yang melanda Hat Yai dan beberapa daerah di selatan Thailand, dengan hujan lebat masih berterusan hari ini.

Menurut kenyataan media, usaha menyelamat rakyat Malaysia diteruskan secara bersepadu oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok serta pihak berkuasa Thailand.

Pada 25 November sahaja, seramai 870 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan, selepas 340 orang dipindahkan pada 24 November. Ini menjadikan 1,210 warga Malaysia diselamatkan dalam tempoh dua hari.

Walaupun jumlah yang terkandas semakin berkurangan, ribuan masih belum dapat keluar dari Hat Yai akibat paras air yang tinggi dan arus deras dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang memerlukan bantuan perubatan dan kebajikan.

Pasukan Kedutaan Malaysia di Bangkok turut tiba di Hat Yai malam tadi bagi mengukuhkan operasi di lapangan, bersama badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia dan Tentera Diraja Thailand.

Bantuan meliputi penyaluran ubat-ubatan, makanan serta air bersih, selain pemindahan mangsa apabila keadaan mengizinkan.

Sebanyak 22 jet ski Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) turut digerakkan hari ini bagi meningkatkan keupayaan operasi.

Wisma Putra menegaskan bahawa operasi akan diteruskan sehingga semua rakyat Malaysia yang berdaftar dipindahkan dengan selamat.

Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan kekal berada di tempat selamat, berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Mereka yang belum berdaftar diminta segera menghubungi pihak Konsulat atau Kedutaan bagi memudahkan bantuan disalurkan.

ROSLINA BINTI DIN