KUALA LUMPUR, 28 November - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan kertas siasatan berhubung pelaburan beberapa entiti kerajaan dalam syarikat pengendali platform e-dagang, FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dalam kenyataan media hari ini ( 28 November).
Menurut kenyataan itu, kertas siasatan telah diserahkan kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, SPRM untuk kajian dan pertimbangan.
“Keputusan berhubung siasatan ini akan diperoleh dalam masa yang terdekat,” katanya.
Siasatan terhadap platform e-dagang itu dibuat susulan laporan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.
Pada 2018, Khazanah dan PNB masing-masing telah melabur RM27 juta dan RM20 juta untuk pegangan minoriti masing-masing dalam FashionValet.