fb fb fb fb fb

COVID-19 subvarian XBB tidak perlu bimbang - KJ

NEGERI SEMBILAN, 21 Oktober- Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang berkenaan gelombang terkini jangkitan COVID-19 yang didorong oleh subvarian XBB dan tiada sebarang perancangan sekatan yang bakal dilaksana buat masa ini.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, meskipun varian XBB  sudah dikesan di Malaysia namun tiada jumlah peningkatan dari segi kemasukan hospital dan kematian yang dicatat setakat ini.

 
(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin)

"Kita sudah mula kesan gelombang kecil yang mungkin datang dari XBB kita dah kesan dah XBB di Malaysia dan saya akan buat kenyataan penuh pada minggu depan. Setakat ini dia tidak membawa kepada peningkatan dari segi kemasukan hospital dan kematian. Itu yang yang menjadi kayu ukur penting bagi saya namun demikian saya menjangkakan kes akan meningkat sedikit untuk beberapa minggu akan datang," katanya dalam sidang media Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3.

Dalam pada itu, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15, tiada sebarang perancangan sekatan yang akan dilaksanakan namun orang ramai hanya dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dalam fasa peralihan ke Endemik. 

Tambahnya, Kementerian Kesihatan bakal memberi kenyataan lebih lanjut berkenaan subvarian baharu itu pada minggu hadapan.

Media Baharu