fb fb fb fb fb

Cip & GPU ‘Buatan Malaysia' dijangka direalisasikan 5 hingga 10 tahun lagi

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 9 Januari- Malaysia dijangka bakal membangunkan cip dan unit pemprosesan grafik (GPU) ‘Buatan Malaysia’ dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata negara boleh merealisasikan industri itu dengan memanfaatkan sektor hiliran dan tidak hanya bergantung kepada pembuatan semikonduktor di peringkat pemasangan dan pengujian.

“Jadi, kita bukan sahaja mewujudkan sektor ekonomi bernilai tinggi yang memenuhi permintaan, malah boleh menjadi peserta global kerana negara-negara lain turut memerlukan pusat data.

“Itulah visi jangka masa panjang kerajaan mengenai keseluruhan sumbangan kecerdasan buatan (AI) dan pusat data kepada ekonomi kita,” katanya.

Rafizi berkata Malaysia dijangka menjadi kuasa besar pusat data global dan mahu menyokongnya melalui tenaga boleh baharu.

Jelasnya, kini Malaysia sedang memuktamadkan pusingan bidaan solar berskala besar kelima (LSS5) dan dijangka disusuli dengan LSS6.

Dalam perkembangan berlainan, Rafizi memaklumkan kelayakan penerima subsidi RON95 akan diketahui dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Ia akan ditentukan, selepas peralihan pengkelasan berasaskan penggunaan pendapatan kasar kepada pendapatan boleh guna bersih, selesai dilaksanakan.

Beliau berkata, ketika ini proses dalaman membabitkan peralihan pengkelasan B40, M40, dan T20, sedang dijalankan.

Sebaik mendapat kelulusan kabinet, keputusan mengenai kelayakan dan mekanisme pelaksanaanya akan dimaklumkan kepada rakyat.

Jelasnya, dua pengumuman penting itu akan dibuat secara berperingkat, dalam tempoh beberapa bulan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE