CERMAT MADANI: Pemandu berhemah nikmati manfaat premium insurans kenderaan hingga 10 peratus

Foto FB Kementerian Pengangkutan.

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Pemandu yang memiliki rekod pemanduan baik bakal menikmati manfaat premium insurans kenderaan sehingga 10 peratus menerusi Inisiatif CERMAT MADANI.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif menggalakkan budaya pemanduan lebih selamat, bertanggungjawab dan berhemah melalui penggunaan maklumat serta data relevan dalam penilaian risiko insurans.
  • Rebat tambahan ditawarkan tanpa syarat selama tiga bulan bermula hari ini hingga 9 September.
  • Mulai 10 September, manfaat diberi berdasarkan penilaian risiko melibatkan data JPJ yang diintegrasikan dengan PDRM; data PBT belum diambil kira.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, manfaat itu bagaimanapun tertakluk kepada penilaian dan keputusan syarikat insurans atau pengendali takaful yang mengambil bahagian.

Jelas beliau, inisiatif tersebut bertujuan menggalakkan budaya pemanduan lebih selamat, bertanggungjawab dan berhemah melalui penggunaan maklumat serta data relevan dalam penilaian risiko insurans kenderaan.

“Sebelum ini, kadar maksimum Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) adalah 55 peratus. Kini, pemandu yang mempunyai rekod baik boleh dipertimbangkan untuk menerima tambahan manfaat premium sehingga 10 peratus,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran CERMAT MADANI di sini.

Setakat hari ini, sebanyak 10 syarikat insurans telah menyertai CERMAT MADANI.

Rebat tambahan itu ditawarkan tanpa syarat selama tiga bulan bermula hari ini hingga 9 September depan.

Selepas tempoh tersebut, manfaat premium akan diberi berdasarkan penilaian risiko pemandu termasuk rekod kemalangan dan saman trafik yang direkodkan dalam pangkalan data MySikap, bermula 10 September.

Pada peringkat awal, penilaian hanya melibatkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang diintegrasikan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Data berkaitan saman yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) belum diambil kira buat masa ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.