
PUTRAJAYA, 9 Jun – Keputusan PAS untuk menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu dilihat sebagai perkembangan yang telah dijangka dalam landskap politik semasa.
- PAS secara rasmi menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu.
- Kerjasama politik tidak wajar berasaskan pertimbangan politik semata-mata.
- Kolaborasi perlu berpaksikan pembangunan negara, penyatuan rakyat dan perancangan jangka panjang.
- Pertemuan pemimpin UMNO dan PAS disambut positif sebagai ruang dialog memperkukuh persefahaman bersama.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peralihan tersebut wajar dijadikan pengajaran bahawa sebarang bentuk kolaborasi politik tidak boleh hanya berasaskan pertimbangan politik semata-mata.
Sebaliknya, beliau menegaskan kerjasama politik perlu berpaksikan matlamat yang lebih besar iaitu pembangunan negara serta penyatuan rakyat.
“Ini merupakan satu ibrah atau pengajaran bahawa sebarang kolaborasi mesti tidak hanya dipegang dan bersandarkan sudut pandang politik tetapi harus dilihat dari segi pembangunan dan kesatuan sebuah negara bangsa. Ia mesti dibuat untuk jangka masa panjang agar matlamat negara dapat dicapai,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di sini hari ini.
Semalam, PAS secara rasmi mengumumkan keputusan untuk menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyambut baik pertemuan antara pemimpin UMNO dan PAS yang diadakan baru-baru ini, dengan menyifatkannya sebagai langkah positif dalam merungkai isu-isu berkepentingan bersama.
Beliau berkata, pertemuan itu tidak wajar dilihat secara sempit dalam konteks politik semata-mata, sebaliknya perlu dianggap sebagai ruang dialog bagi memperkukuh persefahaman antara pelbagai pihak.