
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang.
- PH akan bertanding di semua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.
- Ahmad Zahid optimis tentang prestasi BN dan menegaskan fokus untuk mendapatkan mandat daripada rakyat.
- Kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan kekal kukuh dan dijangka berterusan sehingga tamat penggal pentadbiran.
- Muafakat Nasional dianggap selesai kerana telah didaftarkan sebagai NGO oleh pihak lain; BN tiada hasrat menghidupkan semula.
Menurut Pengerusi (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, keputusan itu dibuat selepas Pakatan Harapan (PH) menyatakan hasrat untuk bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri berkenaan.
“BN akan bergerak secara solo kerana PH akan bertanding semua 36 kerusi, jadi kita tiada pilihan selain bertanding sendiri,” katanya selepas merasmikan Program Invest Malaysia 2026, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata beliau optimis terhadap prestasi BN serta menegaskan fokus kini adalah untuk mendapatkan mandat daripada rakyat.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan kekal kukuh dan dijangka berterusan sehingga tamat penggal pentadbiran.
Beliau turut menyifatkan kesepakatan dalam kalangan kepimpinan kerajaan sebagai baik, dengan semua pihak terus bekerjasama sebagai satu pasukan.
Sementara itu, beliau meminta media merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tarikh tamat penggal pentadbiran.
Mengenai Muafakat Nasional, Ahmad Zahid menegaskan sebarang usaha menghidupkan semula kerjasama itu tidak lagi relevan kerana ia telah didaftarkan sebagai NGO oleh pihak lain, sekali gus dianggap selesai.
“Muafakat Nasional telah didaftarkan sebagai NGO oleh pihak lain. Justeru, kita tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional, sama ada versi 1.0 atau 2.0. Perkara itu sudah selesai dan dianggap ditutup,” katanya.