fb fb fb fb fb

Cadangan tubuh Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Johor, diterima

JOHOR BAHRU, 27 Mac - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini sebulat suara menerima cadangan penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Johor.

Jawatankuasa itu, dianggotai 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor termasuk barisan penimbang, pegawai kewangan dan jurutulis yang dipengerusikan oleh ADUN Pemanis, Anuar Manap.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata mereka berfungsi terhadap enam perkara utama antaranya, meneliti undang-undang dan peraturan-peraturan berkaitan perubahan iklim dan pengurusan bencana.

Turut diberi penekanan mengkaji penyelesaian yang boleh diambil bagi meminimakan kerosakan harta benda dan infrastruktur akibat banjir yang merangkumi cadangan penempatan semula penduduk dan sebagainya.

"Jawatankuasa ini diberi kuasa oleh Dewan Negeri untuk memanggil mana-mana orang yang mempunyai kepakaran dan kemahiran di hadapannya dari semasa ke semasa bagi maksud penelitian dan kajian terhadap apa-apa berkaitan perubahan iklim dan pengurusan bencana banjir," kata Onn Hafiz, di sini.

(Onn Hafiz semasa sesi penggulungan Mesyuarat ke-4 bagi
penggal kedua Mesyuarat Dewan Negeri Johor ke-15, di Iskandar Puteri)

Pada 19 Mac lalu, beliau mencadangkan penubuhan jawatankuasa itu yang merentasi parti politik, sebagai menyahut titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya rakyat Johor membudayakan amalan mesra alam.

Media Baharu