fb fb fb fb fb

Cadangan Hari Muzik Negara dibawa ke Kabinet - Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/RTM

KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Kementerian Komunikasi sedang meneliti cadangan mewujudkan Hari Muzik Negara bagi mengiktiraf sumbangan penggiat muzik tempatan serta memperkukuh ekosistem industri muzik negara.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, cadangan itu akan dimasukkan dalam siri syor hasil kajian menyeluruh mengenai industri muzik yang telah diselesaikan oleh kementerian bersama MyCreative Ventures.

“Saya sejak tahun lalu telah meminta supaya MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi meneliti kewajaran mewujudkan satu akta khas untuk industri muzik. Kajian itu kini telah disiapkan dan akan menjadi asas kepada hala tuju industri berkenaan,” katanya demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Riuh x ASEAN di Stadium Merdeka hari ini.

Menurut Fahmi, antara perkara yang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri ialah penubuhan akta muzik serta sambutan Hari Muzik Negara yang akan meraikan keupayaan pemuzik dalam pelbagai aliran daripada tradisional hingga kontemporari.

“Saya lihat ada kewajaran untuk kita raikan sumbangan para pemuzik tempatan. Walaupun sudah ada majlis anugerah muzik tertentu, Hari Muzik Negara boleh menjadi wadah lebih menyeluruh untuk menghargai semua genre dan bakat tempatan,” ujarnya.

Katanya, perbincangan berhubung perkara itu dijangka diadakan dalam masa terdekat sebelum dibawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD