fb fb fb fb fb

Cadangan 59 projek bangunkan Port Dickson

FOTO FAIL

SEREMBAN, 7 Mei - Sebanyak 59 projek dicadang untuk dilaksanakan di Port Dickson dalam usaha memacu pembangunan persisiran pantai kawasan itu, sekali gus menjadikannya sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek menerusi Rancangan Kawasan Khas (RKK) Persisiran Pantai Port Dickson itu merangkumi 31 projek strategik atau berimpak tinggi, 12 projek utama dan 16 projek sokongan yang akan dijalankan mengikut fasa pelaksanaan iaitu Fasa Satu (Tahun 2020-2023), Fasa Dua (Tahun 2023-2026) dan Fasa Tiga (Tahun 2026-2030).

RKK Pesisiran Pantai Port Dickson yang disediakan untuk tindakan pelaksanaan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) melibatkan projek-projek berkaitan cadangan jalan, laluan keretapi dan landskap.

"Kita sedang dalam perancangan untuk bina sebuah pelabuhan di Pasir Panjang dan saya sudah bincang supaya landasan baru atau aliran baru keretapi dari Seremban dihidupkan semula bagi bantu industri pengangkutan dan logistik yang ada di Negeri Sembilan ini.

"Jadi itu antara cadangan yang kita kemukakan dan kita minta pihak Perbadanan Aset Keretapi (RAC) juga menimbang," kata Aminuddin kepada medua dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini.

RKK Pesisiran Pantai Port Dickson merupakan pelan perancangan pembangunan terperinci menetapkan matlamat pembangunan untuk memperkukuh peranan Port Dickson sebagai bandar pelancongan persisiran bertaraf antarabangsa.

TETITIA YUSOFF