fb fb fb fb fb

Bomba selamatkan penunggang motosikal dihanyutkan banjir

FOTO FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

KOTA TINGGI, 2 Januari- Seorang penunggang motosikal berdepan detik cemas apabila dia dan motosikal yang dinaikinya dihanyutkan air banjir di sini, Johor, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima panggilan kecemasan melalui talian MER999 untuk menyelamatkan mangsa hanyut  di Kilometer 34 Jalan Jemaluang-Kota Tinggi pada pukul 7.19 pagi.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing digerakkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan anggota seramai 10 orang, sebaik menerima panggilan tersebut.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP) Arwan Abdullah yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa, 23, dipercayai hanyut ketika melalui jalan berkenaan yang dinaiki air banjir dengan motosikalnya.

"Mangsa dibawa arus deras dan hanyut sejauh tujuh meter (m) pada kedalaman air 1.5m. Bomba menggunakan tali menyelamat untuk menarik mangsa ke kawasan lebih selamat," katanya dalam kenyataan.

Arwan berkata, mangsa berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Selain bomba, pihak polis turut berada di lokasi kejadian ketika operasi menyelamatkan mangsa dijalankan.

 

0201 LELAKI HANYUT BANJIR 2
FOTO FB Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

SITI AISHAH BINTI MD ISA