PUTATAN, 16 Jun - Seorang anggota bomba cedera akibat terkena renjatan elektrik ketika memadam kebakaran lapan rumah di Kampung Petagas di sini, petang tadi.
Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Mohd Alfian Salioh berkata, kesemua rumah terbabit musnah dalam kejadian itu namun penghuninya dilapor selamat.
"Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 4 petang.
"Pihak bomba mengambil masa kira-kira 50 minit untuk mengawal kebakaran dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya
Operasi pemadaman turut dibantu oleh anggota BBP Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran dengan kekuatan 22 anggota dan beberapa jentera serta dua tangki air.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 4.55 petang.
Sementara itu, Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pusat pemindahan sementara telah diaktifkan bagi menempatkan mangsa yang terjejas.
"Pusat pemindahan sementara di Dewan Sri Putatan telah dikatifkan dan pendaftaran semua mangsa terlibat sedang dilakukan," katanya.