
KUALA LUMPUR, 21 September – Kerajaan disaran memberi keutamaan kepada kualiti perbelanjaan dan konsep ‘kehidupan mampu milik’ berbanding sekadar memfokuskan kepada jumlah nilai keseluruhan peruntukan dalam penyediaan Belanjawan 2027.
- Ukur kecekapan belanjawan melalui agihan perbelanjaan mengurus dan impak pembangunan terhadap infrastruktur, pendidikan dan kesihatan.
- Kukuhkan kutipan hasil melalui sistem seperti e-Invois untuk mengelakkan ketirisan tanpa menaikkan cukai secara semberono.
- Jalankan konsolidasi fiskal untuk kurangkan defisit dan tingkatkan keyakinan pelabur.
Ketua Penyelidik Ekonomi TA Securities, Shazma Juliana Abu Bakar berkata, penilaian kecekapan belanjawan wajar diukur menerusi agihan perbelanjaan mengurus serta impak perbelanjaan pembangunan terhadap sektor kritikal seperti infrastruktur, pendidikan, dan kesihatan.
Kerajaan juga perlu mengukuhkan kutipan hasil negara menerusi kecekapan sistem seperti e-Invois bagi mengelakkan ketirisan, tanpa perlu menaikkan kadar cukai secara semberono.
“Sekiranya kerajaan menetapkan sasaran untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 3.5 peratus kepada bawah 3.0 peratus dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, pelabur akan menilai sejauh mana kerajaan benar-benar menuju ke arah konsolidasi fiskal.
“Langkah ini penting untuk meningkatkan keyakinan pelabur supaya terus datang dan melabur dalam negara kita.
“Dari sudut kestabilan politik, kita tidak berdepan pergolakan yang membimbangkan seperti yang berlaku di beberapa kawasan di Asia Barat.
“Jadi, berbanding hanya melihat jumlah keseluruhan perbelanjaan kerajaan atau sama ada peruntukan yang diumumkan mencatat rekod tertinggi, kita sepatutnya melihat kepada kualiti perbelanjaan, hasil yang diperoleh serta kesan limpahannya kepada rakyat,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Bicara Naratif bertajuk Belanjawan Harapan Rakyat di Angkasapuro Kota Media di sini.
Mengulas isu perumahan mampu milik, Shazma Juliana berpendapat fokus kerajaan wajar beralih daripada skop ‘rumah mampu milik’ kepada merangka dasar ‘kehidupan mampu milik’ yang disokong kemudahan pengangkutan awam yang cekap dan berintegrasi.
” Saya rasa, daripada kita fokus kepada konsep rumah mampu milik, kita sepatutnya memberi penekanan kepada kehidupan mampu milik.
“Apabila kita bercakap mengenai golongan yang tinggal di bandar, termasuk isu miskin bandar, walaupun seseorang itu mempunyai pendapatan yang tinggi, pelbagai komitmen perlu ditanggung sehingga pendapatan yang boleh dibelanjakan menjadi terhad.
“Jadi, persoalannya ialah sama ada seseorang itu perlu menyewa rumah atau membeli rumah pada harga yang mampu milik. Bagi saya, perkara ini sangat subjektif dan bergantung kepada keadaan serta keperluan setiap individu,” jelasnya.